SEREMBAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menggiatkan usaha menangkap seekor beruang matahari yang dikesan kehadirannya di kawasan perumahan di Taman Tuanku Ja’afar di sini.

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya menerima maklumat kehadiran haiwan liar itu susulan penularan video di media sosial yang memaparkan beruang berkenaan mengopak bumbung pondok di kawasan terbabit.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam Ahad lalu.

“Kami akan menjalankan siasatan terperinci susulan maklumat terbaharu yang diterima berhubung kehadiran beruang matahari itu.

“Sekiranya didapati haiwan berkenaan masih berkeliaran dan menghampiri kawasan perumahan, kami akan mengalihkan perangkap ke lokasi yang lebih strategik bagi memastikan ia dapat ditangkap dengan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.