KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia memberikan kerjasama berhubung sebarang permohonan rasmi untuk menjalankan siasatan terhadap Speedmatrix Sdn. Bhd., kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan ketika ini masih belum menerima sebarang permohonan sedemikian.

“Jika mereka mempunyai kes, datanglah untuk membuat pemeriksaan. Tiada masalah. Kita akan memberikan kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MySaham MITI di sini semalam.

Johari berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan menerima permohonan rasmi untuk menyiasat Speedmatrix, anak syarikat Megaspeed International, sebuah syarikat pengkomputeran awan yang berpangkalan di Singapura.