MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 34 laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 serta membuka 25 kertas siasatan sejak hari penamaan calon pada 31 Oktober lalu hingga semalam.

Jurucakap PDRM Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat, berkata daripada jumlah itu, 23 kertas siasatan atau 92 peratus telah diedarkan ke pejabat berkaitan, manakala dua lagi masih dalam siasatan.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka berkata, 10 kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dan empat bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Dua kertas siasatan pula mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan; dua membabitkan Seksyen 4 Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; manakala tujuh lagi mengikut beberapa peruntukan lain," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.