Pengurusan diabetes bukan hanya bergantung kepada rawatan perubatan, sebaliknya perubahan gaya hidup seperti pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan pengurusan berat badan turut memainkan peranan penting dalam membantu pesakit mengawal keadaan kesihatan mereka.

Menyedari kepentingan pendekatan itu, Program Gaya Hidup Diabetes (DLP) Malaysia diperbaharui untuk tempoh lima tahun lagi bagi memperluas sokongan kepada pesakit serta meningkatkan keupayaan profesional kesihatan dalam memberikan bimbingan yang bersesuaian.

Menerusi fasa baharu itu, program berkenaan menyasarkan latihan tambahan kepada 10,000 hingga 12,000 profesional kesihatan, selain memperkenalkan aplikasi mudah alih untuk membantu pesakit memantau amalan gaya hidup mereka.