BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen (Imigresen) Pulau Pinang menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen pas elektronik (ePASS) yang menawarkan bayaran serendah RM50 dengan menahan dua lelaki warga Bangladesh dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat, dekat sini, malam tadi.
Pengarah Imigresen negeri, Syamsul Fitry Ahmad berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 23 dan 32 tahun itu dilakukan Bahagian Penguatkuasa kira-kira jam 10 malam, susulan aduan awam serta maklumat risikan berkaitan aktiviti pemalsuan dokumen ePASS Imigresen.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan beberapa pasport warga asing serta sejumlah besar kepingan cetakan ePASS yang telah diubah suai dan dipercayai sedia untuk diedarkan.









