KUALA LUMPUR: WCT Holdings Bhd telah melantik Lai Cheng Yee sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, berkuat kuasa hari ini.
WCT dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa Cheng Yee, 52, mempunyai pengalaman profesional selama lebih 20 tahun dengan pelbagai konglomerat tempatan seperti BIG Industries Bhd, Pavilion Group, Diethelm Malaysia, Procter & Gamble dan F&N Malaysia.
"Lai menyertai WCT Holdings sebagai Pengarah (pejabat Pengerusi Eksekutif) pada 15 Ogos 2018, dengan membantu Pengerusi Eksekutif dalam semua perniagaan kumpulan itu.
"Beliau telah mengetuai bahagian hospitaliti, penerbangan serta makanan dan minuman (F&B) kumpulan itu sejak 1 Jun 2024 dan mengendalikan projek berkaitan konsesi kumpulan serta menyelia bahagian kejuruteraan dan pembinaan dan pembangunan hartanah," menurut kenyataan itu.








