KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ketika pelabur memantau rapat perkembangan Belanjawan 2027, yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, bagi mendapatkan petunjuk baharu, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0835/0880 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0845/0890 pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

Beliau berkata, ringgit mengekalkan dagangan jajaran kecil hari ini antara RM4.0848 hingga RM4.0880, manakala Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.14 peratus kepada 102.028 mata.