KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya melaksanakan rasionalisasi subsidi selama lebih dua tahun tanpa mencetuskan kegusaran luar biasa, sekali gus mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap keputusan sukar apabila dasar dilaksanakan berasaskan prinsip keadilan, kepercayaan dan ketelusan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, rasionalisasi subsidi bukan sekadar langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebaliknya penting untuk mewujudkan ruang fiskal supaya kerajaan mempunyai kapasiti melaksanakan agenda pembangunan dan membantu golongan yang lebih memerlukan.
Beliau berkata, cabaran utama kerajaan dalam melaksanakan perubahan dasar ialah memastikan rakyat memahami rasional sesuatu keputusan serta menerima bahawa langkah berkenaan dibuat secara adil.










