Hari ini, seramai 675,166 pengundi di Melaka berpeluang menentukan kerajaan bakal mentadbir negeri bersejarah itu menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 selepas tempoh kempen 14 hari. Pilihan raya membabitkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, bukan sekadar medan persaingan parti politik, sebaliknya ujian terhadap kematangan demokrasi, kebijaksanaan pengundi dan keupayaan pemimpin menerima mandat mahupun kekalahan.

Selepas bukan sahaja manifesto diumumkan dan ceramah digerakkan, bahkan pelbagai janji ditaburkan serta serangan politik dilancarkan, akhirnya rakyat menjadi hakim menentukan siapa layak diberikan amanah. Kita berharap pengundi tidak sekadar terpesona dengan pidato berapi-api atau sentimen kepartian, sebaliknya menilai kewibawaan calon, kemampuan mentadbir, rekod perkhidmatan serta kesungguhan menyelesaikan permasalahan rakyat.