MELAKA TENGAH – Cuaca cerah di beberapa kawasan di negeri ini pagi ini memberi peluang kepada orang ramai untuk keluar awal menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Keadaan cuaca yang baik sejak awal pagi dilihat memudahkan pengundi hadir ke pusat-pusat mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat yang bakal menentukan hala tuju negeri itu.
Rata-rata pengundi mengambil kesempatan untuk keluar mengundi pada sebelah pagi bagi mengelakkan kesesakan, selain memanfaatkan keadaan cuaca yang baik ketika ini.
Tinjauan Kosmo di Sekolah Kebangsaan Seri Duyong di sini juga menyaksikan kehadiran pengundi seawal pusat mengundi dibuka kira-kira pukul 8 pagi dengan proses pengundian setakat ini berjalan lancar.









