BANJIR di Selangor bukan lagi kejadian luar biasa. Hujan lebat selama beberapa jam sahaja boleh menenggelamkan jalan, memasuki rumah dan meninggalkan kesan berpanjangan.

Ia bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, bahkan membabitkan kos tinggi dan tenaga untuk membersihkan rumah selepas banjir surut.

Dalam banjir kilat melanda beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang, Shah Alam (Seksyen 13 dan Bukit Jelutong) dan Setia Alam baru-baru ini, lebih 500 rumah terjejas. Pada malam yang sama, sebahagian laluan jalanraya Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) antara Shah Alam dengan Setia Alam terpaksa ditutup sementara.

Apabila bercakap mengenai kerugian banjir, kita sering memikirkan kerosakan perabot, kereta atau peralatan elektrik. Namun terdapat satu lagi kos jarang diberi perhatian, iaitu kos membersihkan rumah.