KUALA LUMPUR: Keupayaan vokal, keaslian karya dan identiti budaya menjadi antara kriteria utama penilaian lima juri profesional Malaysia bagi Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung malam ini.
Panel juri bukan sahaja menilai mutu persembahan peserta, malah turut meneliti kemampuan mereka menterjemahkan keunikan seni dan budaya negara masing-masing menerusi karya yang dipertaruhkan.
Panel juri Malaysia diketuai penerbit muzik dan komposer, AG Coco, bersama komposer, Justin Seow; pengurus acara dan promoter konsert, Iman Tang; pengarah iklan dan filem, Bobby Husaini serta Pengarang Berita Kanan Hiburan dan Projek Berita Harian (BH), Shamshul Azree Samshir.
Mereka turut meletakkan harapan tinggi terhadap wakil Malaysia, Aina Abdul yang bakal mempertaruhkan lagu Bluest Sky pada edisi sulung pertandingan berkenaan di Asia.









