Kuala Lumpur: Lima figura berpengalaman dalam industri kreatif tempatan dipilih menganggotai panel juri profesional Malaysia bagi Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung Sabtu ini.

Panel berkenaan diketuai penerbit muzik dan komposer terkenal, AG Coco bersama penerbit muzik dan komposer, Justin Seow; pengurus acara dan promoter konsert, Iman Tang; pengarah iklan dan filem, Bobby Husaini serta Pengarang Berita Kanan Hiburan dan Projek Berita Harian (BH), Shamshul Azree Samshir.

Pemilihan lima individu daripada latar belakang profesional berbeza itu menghimpunkan kepakaran dalam bidang muzik, pengurusan acara, penerbitan visual dan kewartawanan hiburan.

Kepelbagaian pengalaman berkenaan dijangka memberikan perspektif menyeluruh dalam menilai persembahan serta kualiti artistik setiap peserta yang bertanding.