Telok Mas: Jentera kempen Barisan Nasional (BN) Sabah membawa semangat perjuangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan DUN Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Jentera bagi kedua-dua DUN itu berusaha mengekalkan kerusi yang disandang BN selepas membantu calon sama merampas kerusi Duyong dan Telok Mas pada PRN Melaka 2021.

Timbalan Pengerusi BN Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, semangat Allahyarham Bung Moktar yang mengetuai jentera negeri Sabah pada 2021 dibawa pada kempen kali ini dalam memenangkan BN di bumi Melaka.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berterima kasih kepada seluruh jentera BN Negeri Sabah yang berusaha sehabis baik dalam membantu kempen di DUN Duyong dan DUN Telok Mas.