BATU PAHAT: Perbuatan seorang pekerja kedai makan menanam janin hasil hubungan terlarang dengan gadis bawah umur terbongkar apabila remaja terbabit dikejarkan ke hospital akibat sakit perut, semalam.

Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, berhubung seorang pesakit perempuan berusia 15 tahun mendapatkan rawatan mendakwa sakit perut.

Siasatan awal mendapati suspek berusia 22 tahun itu mengakui menjalinkan hubungan terlarang dengan mangsa sehingga remaja itu disahkan hamil.

Difahamkan, selepas menyedari mangsa tidak datang haid dan hamil, suspek membeli pil menggugurkan kandungan melalui media sosial sebelum remaja terbabit mengalami keguguran selepas dua hari mengambil pil berkenaan.