Kesemua 240 pusat mengundi dengan 1,213 saluran di Melaka ditutup jam 6 petang, dengan peratusan keluar mengundi 70.59 peratus pada 6.05 petang.
MELAKA: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berakhir secara rasmi, selepas kesemua 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran di seluruh negeri ditutup tepat jam 6 petang ini.
Sejak dibuka seawal 8 pagi tadi, tinjauan Bernama di beberapa pusat mengundi mendapati proses pengundian berlangsung dalam keadaan tenang dan terkawal dengan cuaca baik di seluruh negeri sejak pagi, walaupun Jabatan Meterologi Malaysia pada awalnya meramalkan ribut petir pada waktu petang.
Berdasarkan papan pemuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6.05 petang ini, sebanyak 70.59 peratus atau lebih 472,377 orang daripada keseluruhan 669,211 pemilih biasa, telah menunaikan tanggungjawab mereka.








