KUALA LUMPUR: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 16 dan 17 November depan selepas lawatan negara ke Kemboja, menandakan lawatan pertamanya ke negara ini sejak 2017.

Lawatan itu dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Perancis, dengan kedua-dua negara bakal meningkatkan hubungan yang sudah lama terjalin kepada perkongsian strategik, dengan tumpuan kepada pertahanan dan keselamatan, mineral kritikal, peralihan tenaga, aeronautik dan angkasa lepas, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta semikonduktor.

Pejabat Presiden Perancis, berkata kedua-dua negara akan memperkukuh kerjasama berdasarkan keutamaan bersama, di samping meningkatkan kerjasama dalam isu utama serantau dan antarabangsa serta hubungan antara Eropah dengan ASEAN.