Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan semua sistem operasi utama dan perkhidmatan kesihatan serta rawatan pesakit tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa susulan insiden keselamatan siber yang dikesan, kelmarin.
Sehubungan itu, orang ramai boleh meneruskan janji temu kesihatan dan mendapatkan rawatan di semua fasiliti kesihatan kementerian berkenaan tanpa sebarang kerisauan.
KKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan awal oleh Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Komputer (CSIRT) kementerian mendapati insiden berkenaan tidak membabitkan penyulitan sistem terhadap pangkalan data utama KKM.
Sebaliknya, insiden itu hanya terhad kepada akses tanpa kebenaran ke atas satu platform storan dan perkongsian fail sokongan di sebuah fasiliti kesihatan kementerian.








