Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan pesakit bukan warganegara yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) dikenakan caj RM40 bagi setiap kedatangan, berbanding RM1 untuk warganegara Malaysia.
JKNS dalam kenyataan memaklumkan, caj perkhidmatan berkenaan ditetapkan mengikut kadar dan peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa.
"Selaras dengan prinsip 'No Wrong Door Policy', setiap pesakit yang hadir tetap diberikan penilaian awal (triage) bagi menentukan keperluan rawatan masing-masing.
"Keutamaan diberikan berdasarkan tahap kecemasan dan keperluan klinikal, dengan keselamatan pesakit sebagai pertimbangan utama," menurut kenyataan itu.








