LONDON: Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat menggesa Israel supaya membuka semula semua pintu sempadan ke Gaza dan membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan secara segera serta tanpa halangan, sambil memberi amaran keadaan musim sejuk yang semakin buruk dan serangan ketenteraan yang berterusan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah Palestin itu, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, EU menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang berterusan dan dahsyat di Gaza, dengan menyatakan banjir besar serta cuaca musim sejuk yang teruk semakin memburukkan keadaan hidup penduduk yang sudah keletihan akibat krisis berpanjangan.
Blok itu turut mengecam serangan udara terbaharu ke atas Hospital Nasser yang disifatkan sebagai amat membimbangkan, sambil menegaskan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, mesti dihormati pada setiap masa.









