PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, merasmikan Sidang Kemuncak Francophonie Ke-20 di sini, hari ini, dengan menegaskan keamanan adalah prasyarat kepada pertumbuhan.

Beliau berkata, keamanan mesti membawa perubahan nyata dalam kehidupan rakyat, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan, serta menyediakan sekolah untuk kanak-kanak.

"Perkara-perkara inilah yang menjauhkan rakyat daripada konflik. Kemboja amat memahami hakikat ini. Keamanan membolehkan kami membina semula negara dan mencapai pertumbuhan.

"Namun, kemakmuran bermakna berkongsi pertumbuhan itu. Keamanan akan merapatkan hubungan antara komuniti perniagaan Francophonie dan ASEAN. Keamanan akan menjadi jambatan untuk meningkatkan kemakmuran bersama," kata Hun Manet dalam ucapan alu-aluannya pada sidang kemuncak itu.