DUNGUN: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menghapuskan barang kemas milik seorang warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian, awal November lalu.
Kedua-dua tertuduh, Muhammad Faris Shafiq Nornazli dan Nabil Anaqi Mohd Ayob masing-masing berusia 29 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Ng Yan Ni.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Faris Shafiq didakwa dengan sengaja membantu menghapuskan harta curi, iaitu seutas rantai emas milik seorang warga emas berusia 62 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di FELDA Kerteh 3, Dungun jam 1.15 tengah hari.








