KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan penantian 18 tahun apabila gandingan Nor Zamziezah Ahmad dan Nur Ain Nabilah Tarmizi muncul juara acara pairs wanita pada Hong Kong International Bowls Classic 2026, hari ini.
Dalam aksi final, pasangan negara itu menumpaskan gandingan China, Miao Xinhong dan Yu Qiaohan menerusi keputusan 4-6, 11-3, 5-0.
Kejayaan itu adalah yang kedua selepas Malaysia muncul juara buat kali pertama menerusi pasangan handalan negara Siti Zalina Ahmad dan Nor Hashimah Ismail pada edisi 2008.
Hong Kong International Bowls Classic yang dianjurkan sejak tahun 1981 adalah kejohanan boling padang tertua serta paling berprestij di Asia.









