JOHOR BAHRU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan Perak wajar dibubarkan bagi membuka laluan kepada pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) di kedua-dua negeri itu.Bekas Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan itu susulan kejayaan formula kerjasama BN-PN yang menyaksikan kedua-dua gabungan berkenaan mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.Menurut bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu lagi, kerjasama berkenaan pada awalnya dilihat rumit apabila BN bertegas untuk bertanding di 21 daripada 28 kerusi.Bagaimanapun katanya, pendekatan Pas yang bersedia mengalah dengan bertanding di kerusi lebih mencabar membuahkan hasil apabila parti itu berjaya memenangi dua kerusi."Justeru amat wajar DUN Pahang dan Perak bubar untuk menoktahkan kerajaan BN-PN memerintah di dua negeri Kerajaan Perpaduan itu."Teori domino amat jelas. Formula 'Bangkit BN' makin nampak. Tetapi PH masih tersepit mencari formula 'pemulihan'."Jika PH masih selesa, PH akan 'wipe out' di PRU16," katanya.Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut mengaitkan keputusan PRN Melaka dengan perkembangan politik Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya masih berdepan cabaran untuk mencari pendekatan pemulihan.Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada Sabtu, menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi dan Pakatan Harapan (PH) empat kerusi.Keputusan itu menyaksikan gabungan BN-PN menguasai 24 kerusi dengan majoriti lebih dua pertiga.Sementara itu, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN dan PH membentuk kerajaan negeri Pahang selepas masing-masing memenangi 17 dan lapan kerusi DUN, manakala PN memperoleh 17 kerusi.Kedudukan itu menjadikan BN dan PH mempunyai 25 daripada keseluruhan 42 kerusi DUN.Di Perak pula, PN memenangi 26 daripada 59 kerusi DUN, diikuti PH (24) dan BN (sembilan). Bagaimanapun, BN dan PH membentuk kerajaan negeri dengan gabungan 33 kerusi, manakala PN menjadi pembangkang dengan 26 kerusi.