DUNGUN - Dua lelaki didenda RM6,800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad selepas mengaku bersalah menolong menghapuskan harta curi seutas rantai emas milik warga emas pada 5 November lepas.Nabil Anaqi Mohd Ayob dan Muhammad Faris Shafiq Nornazli masing-masing berusia 29 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Ng Yan Ni.Yan Ni menjatuhkan hukuman denda RM3,600 atau dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu terhadap Muhammad Faris Shafiq, manakala Nabil Anaqi didenda RM3,200 atau dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.Mengikut pertuduhan, Muhammad Faris Shafiq didakwa telah sengaja menolong menghapuskan harta curi iaitu seutas rantai emas milik warga emas wanita berusia 62 tahun dan tertuduh mempunyai sebab mempercayai harta tersebut adalah harta curi.Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Felda Kerteh 3, Dungun, pada 1.15 tengah hari, 5 November lepas.Sementara itu, Nabil Anaqi pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Faris Shafiq yang telah melakukan kesalahan dengan sengaja menolong menghapuskan harta curi iaitu seutas rantai emas milik warga emas terbabit dan kesalahan itu dilakukan di lokasi, waktu serta tarikh yang sama.Kedua-dua tertuduh didakwa Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maisarah Abd Razak, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwi.Berdasarkan fakta kes, mangsa berusia 62 tahun diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai syarikat utiliti dan polis sebelum menyerahkan barangan kemas bernilai kira-kira RM27,000 atas alasan membantu siasatan pengubahan wang haram.Mangsa turut diminta menyediakan wang RM50,000 sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis.Siasatan mendapati barang kemas berkenaan digadaikan dengan nilai RM14,200, dengan kedua-dua tertuduh mempunyai peranan dalam urusan penyerahan dan penggadaian barang tersebut. - Bernama