SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengekalkan prinsip penyandang (incumbency) sebagai asas rundingan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, formula itu perlu dilaksanakan secara konsisten di semua negeri dan tidak berubah mengikut lokasi pilihan raya.Menurut beliau, prinsip berkenaan telah digunakan dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini dan wajar diteruskan bagi memastikan agihan kerusi dapat dibuat menerusi persefahaman serta semangat tolak ansur antara parti komponen."Setakat ini, tiga negeri yang mengadakan pilihan raya menggunakan formula penyandang, kecuali Johor yang mempunyai sedikit perubahan."Jadi selepas ini, prinsip yang sama perlu diteruskan dan tidak boleh diubah mengikut negeri," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Pejuang 2026 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, pada Ahad.Bagaimanapun, Mukhriz berkata, pelaksanaan formula itu masih boleh diperhalusi sekiranya terdapat keperluan untuk membuat penyesuaian menerusi rundingan dan semangat pengorbanan bersama.Menurutnya, setiap parti perlu bersedia berkompromi di kawasan tertentu bagi memastikan semua komponen dapat merasai manfaat kerjasama dalam gabungan berkenaan.Dalam perkembangan berkaitan, Mukhriz berkata, Pejuang berharap diberi peluang bertanding menggunakan logo PN pada PRU akan datang menerusi rundingan agihan kerusi yang mengambil kira kekuatan setiap parti.Menurut beliau, kekangan utama dihadapi Pejuang ketika ini ialah jumlah kerusi yang terhad susulan kerjasama antara PN dan BN, terutama pada PRN Negeri Sembilan dan Melaka."Pejuang menerima keputusan rundingan yang dicapai secara harmoni, termasuk kesediaan jentera parti komponen membantu calon PN tanpa mengira parti yang diwakili," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, agihan kerusi bagi pilihan raya akan datang perlu mengambil kira kekuatan setiap parti komponen termasuk Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Pejuang dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), selain BN sebagai rakan kerjasama.Katanya, perkara itu sedang dibincangkan secara mendalam bagi mencari titik persamaan yang boleh diterima semua pihak.Sementara itu, Naib Presiden Wawasan, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berharap parti komponen PN diberikan peluang yang lebih baik untuk bertanding di kerusi Parlimen pada PRU akan datang.Beliau berkata, ketiadaan penyandang BN di beberapa kawasan Parlimen membuka ruang kepada parti komponen lain untuk diketengahkan sebagai calon."Pemilihan calon perlu dibuat lebih awal bagi membolehkan mereka mendekati masyarakat dan memahami keperluan pengundi sebelum pilihan raya."Gabungan kekuatan parti dan personaliti calon yang dipercayai pengundi penting bagi memastikan kemenangan PN pada pilihan raya akan datang," katanya.