Chan Chee How melafazkan sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Terengganu Mohd Nor Hamzah hari ini. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Gerakan Terengganu Chan Chee How mengangkat sumpah sebagai Adun lantikan bagi mewakili masyarakat bukan Islam di negeri itu hari ini.

Beliau melafazkan sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Terengganu, Mohd Nor Hamzah selepas pelantikannya diumumkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Terdahulu, usul pemilihan Chan, 51, dikemukakan oleh Adun Kijal Razali Idris dan diluluskan dalam persidangan itu, lapor Sinar Harian.

Pelantikan dibuat selaras peruntukan Fasal XXVII (2) atau Perkara 27(2) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) yang membolehkan pelantikan ahli bagi mewakili golongan berkenaan apabila mereka tidak mempunyai wakil yang dipilih dalam DUN.