BUKIT MERTAJAM – Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tembakan di depoh simpanan minyak di Bukit Tengah, di sini Sabtu lepas sehingga menyebabkan seorang pekerja di situ maut dipercayai masih berada dalam Malaysia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, identiti suspek berumur 40-an itu telah dikenal pasti dan usaha mengesan lelaki terbabit sedang giat dijalankan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita percaya lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu masih berada dalam Malaysia kerana tiada pergerakan dia keluar dari negara,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata polis juga sedang menyiasat motif sebenar kejadian itu dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh.