SINGAPURA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) Singapura sebagai Pusat Kerjasama bagi Pencegahan dan Kawalan Jangkitan (IPC) bawah badan antarabangsa itu.

CDA dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa pengiktirafan itu membolehkan Singapura menyumbang kepakarannya kepada usaha pencegahan serta kawalan jangkitan pada peringkat antarabangsa, selain mendapat manfaat daripada kerjasama lebih erat dengan WHO dan masyarakat global.

Agensi itu akan bekerjasama dengan negara anggota WHO di rantau Pasifik Barat bagi memperkukuhkan IPC menerusi kerjasama teknikal, pembangunan kapasiti serta perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik.

Menurut CDA, kerjasama itu akan membantu menambah baik dasar dan amalan IPC Singapura, melindungi pesakit serta petugas kesihatan, mengurangkan jangkitan yang boleh dicegah, dan memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman penyakit pada masa depan.