NEW DELHI: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang dijatuhi hukuman mati selepas digulingkan daripada tampuk pemerintahan pada 2024, bertegas akan pulang ke negara itu pada Disember ini meskipun berdepan ancaman hukuman mati.

Hasina memberitahu AFP pada Isnin, tiada ancaman yang mampu menghalangnya daripada kembali ke tanah air, walaupun beliau menyedari risiko yang bakal dihadapi.

“Saya sedar sepenuhnya risiko yang bakal dihadapi sekiranya pulang. Namun, saya sudah membuat keputusan dan tiada ancaman hukuman mati yang mampu menghalang saya daripada kembali ke negara sendiri,” katanya dalam temu bual melalui emel.

Hasina melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas kebangkitan rakyat yang diketuai pelajar menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun. Beliau terus bersembunyi di negara itu sejak melarikan diri.