TAMPIN – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian membabitkan senjata tajam di kawasan Gemas, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, setakat ini pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu membabitkan seorang individu dipercayai mempamerkan senjata tajam berupa parang di Felda Jelai.

“Satu laporan polis berhubung kejadian berkenaan baharu diterima tengah hari tadi di Balai Polis Gemas. Polis kini sedang menyiasat aduan serta mengesan suspek.

“Bagaimanapun, dakwaan tular kononnya suspek membaling parang ke arah seorang individu yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah kilang simen di Felda Bukit Rokan masih dalam semakan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.