Johor Bahru: Pengguna jalan raya yang merentasi sempadan antara Johor dan Singapura dinasihatkan supaya bersiap sedia berdepan kesesakan trafik luar biasa di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang cuti persekolahan akhir tahun ini.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, memaklumkan kesesakan dijangka berlaku mulai 20 November hingga 3 Januari depan susulan peningkatan jumlah pelawat yang menggunakan laluan darat itu.
Menurut kenyataan ICA hari ini, tempoh pelepasan Imigresen dijangka mengambil masa sehingga tiga jam pada waktu puncak akibat kesesakan lalu lintas yang melanda laluan terbabit.
Amaran itu turut bertepatan dengan jadual cuti sekolah akhir tahun di Malaysia yang bermula pada 5 Disember bagi negeri Johor serta negeri-negeri Kumpulan B yang lain, termasuk Selangor, Pulau Pinang dan Perak, hingga 31 Disember.










