ISTANBUL: Pesuruhjaya Eropah bagi Kesaksamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis Hadja Lahbib menggesa Israel membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza dengan lebih kerap serta menetapkan peraturan penghantaran yang jelas dan boleh dijangka, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap kepada pemberita menjelang mesyuarat menteri luar Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Lahbib berkata keadaan musim sejuk memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah Palestin itu.

"Gaza sedang berdepan malapetaka kemanusiaan, dan musim sejuk menjadikannya lebih mengancam nyawa," katanya sambil menambah bahawa 70,000 khemah dilanda banjir, keluarga terdedah kepada hujan dalam cuaca sejuk melampau dan kanak-kanak meninggal dunia akibat hipotermia.