Kuala Lumpur: Golongan muda dan belia adalah tiang sandaran yang bakal mewarisi kepimpinan negara, menjadi penggerak utama ekonomi serta generasi penentu dalam memastikan Malaysia bersih daripada cengkaman rasuah.

Justeru, penerapan nilai integriti dan jati diri yang teguh dari peringkat awal bukan lagi satu pilihan mahupun sekadar retorik melainkan satu keperluan mendesak demi menjamin kelangsungan serta kemakmuran negara di masa hadapan.

Walaupun tahap pembabitan belia berumur 30 tahun dan ke bawah dalam kesalahan rasuah secara langsung seperti memberi atau meminta suapan masih berada pada kadar relatif rendah dan terkawal, data semasa menunjukkan golongan ini kekal terdedah kepada risiko, godaan serta bahaya jenayah sistemik ini.