Kuala Lumpur: Kemudahan aplikasi mencari pasangan dan temu janji dalam talian dikesan menjadi antara pemangkin peningkatan mendadak kes khalwat dalam kalangan individu bujang di Wilayah Persekutuan.

Teknologi padanan profil yang direka untuk memudahkan pencarian jodoh itu didapati disalah guna oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan memburu cinta ekspres sebelum berakhir dengan perbuatan maksiat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan berkata, kecanggihan komunikasi hari ini menyebabkan lambakan maklumat berkaitan kemungkaran boleh diakses dengan begitu mudah oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Menurutnya, dalam suasana sekarang, bahan maklumat mengenai kemungkaran sudah merata dan akses boleh diperoleh oleh semua orang daripada golongan tua sehinggalah muda.