KUALA LUMPUR: Penangguhan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) susulan insiden nahas helikopter di Sarawak, September lalu memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan di 85 lokaliti di kawasan pedalaman negeri itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 16 lokaliti dikenal pasti tidak mempunyai akses melalui mod pengangkutan alternatif darat dan air.

Beliau berkata, penangguhan sementara operasi PDU bagi membolehkan siasatan serta penilaian menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan pengoperasian perkhidmatan dilaksanakan, susulan nahas berkenaan.

Menurutnya, bagi mengurangkan kesan kepada komuniti yang terjejas, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil beberapa langkah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan.