PETALING JAYA: Sebanyak 80 peratus perniagaan di Malaysia menjangkakan peningkatan kos berterusan dalam tempoh dua tahun akan datang, sekali gus memberi tekanan kepada operasi syarikat meskipun majoriti firma semakin berupaya menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan perdagangan global.

Dapatan Tinjauan HSBC Global Trade Pulse 2026 menunjukkan jangkaan peningkatan kos dalam kalangan perniagaan tempatan lebih tinggi berbanding purata global sebanyak 72 peratus dan ASEAN sebanyak 79 peratus.

Tekanan itu bukan sekadar jangkaan apabila 68 peratus perniagaan di Malaysia melaporkan telah mengalami kenaikan kos dalam tempoh enam bulan lalu, khususnya melibatkan pengangkutan dan bahan mentah yang masing-masing dikenal pasti oleh 55 peratus responden sebagai antara cabaran utama.