TAMPIN – Seorang lelaki yang mengacukan sebilah parang ketika memandu di kawasan Felda Jelai, Gemas, di sini, berjaya ditahan semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, semakan mendapati polis menerima satu laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.27 tengah hari semalam.

“Hasil risikan dan maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tampin telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun pada pukul 9 malam bagi membantu siasatan. Dia akan direman mulai hari ini,” katanya.

Semalam, tular kejadian membabitkan individu mengacukan senjata tajam di kawasan Gemas, selain dakwaan suspek membaling parang ke arah seorang individu yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Bukit Rokan.