PERUBAHAN landskap media yang semakin pesat menuntut pengamal kewartawanan keluar daripada peranan tradisional sebagai penyampai maklumat semata-mata, sebaliknya mengembangkan potensi diri sebagai content entrepreneur yang memahami nilai kandungan, kehendak audiens dan peluang perniagaan.
Dalam persekitaran media moden, tugas wartawan tidak seharusnya terhenti selepas menghasilkan berita atau artikel untuk memenuhi ruang halaman akhbar dan portal digital.
Sebaliknya, mereka perlu memahami bagaimana sesuatu kandungan boleh dibangunkan, disesuaikan dan disampaikan melalui pelbagai platform bagi menarik perhatian serta membina hubungan jangka panjang dengan pembaca.
Menurut Koordinator Prasiswazah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis, Dr. Norhisam Bulot, perubahan ini penting kerana persaingan industri media kini bukan lagi terbatas antara organisasi akhbar atau portal berita, tetapi turut melibatkan platform seperti TikTok, YouTube, podcast dan pencipta kandungan digital yang bersaing mendapatkan perhatian khalayak.









