Kangar: Gasing yang pernah menjadi permainan terkenal dalam kalangan rakyat suatu ketika dahulu akan diperkasa melalui pembukaan gelanggang baru dan pendedahan di peringkat sekolah.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Shahrizal Abdan berkata, gelanggang gasing di Kompleks JKKN kini siap dinaik taraf dengan permukaan tanah liat baharu yang mematuhi spesifikasi rasmi Persekutuan Gasing Kebangsaan (PEGAMA).
"Ini adalah satu-satunya gelanggang di Perlis yang memenuhi piawaian kebangsaan dan sesuai untuk penganjuran pertandingan. Sebelum ini, kelengkapan yang uzur sedikit membantutkan usaha kami membina generasi pelapis baharu.
"Kini, kita bukan sahaja dapat menyediakan tempat latihan yang selamat, malah melebarkan usaha menarik minat generasi muda menyertai sukan ini. Ia membolehkan mereka bersaing dengan negeri aktif seperti Pahang dan Kelantan," katanya selepas Majlis Penyerahan Gelanggang Gasing JKKN Perlis di Kompleks JKKN, di sini, semalam.









