Kuala Lumpur: Sambutan menggalakkan daripada pemain muda serta sokongan padu keluarga menjadi antara elemen menarik sepanjang berlangsungnya saingan Zon Tengah-Selatan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 yang melabuhkan tirainya di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), kelmarin.

Pengarah Kanan Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, pihaknya berbangga dengan semangat ditampilkan 24 regu yang berentap sepanjang dua hari kejohanan itu, sekali gus membuktikan sukan sepak takraw terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, saingan yang berlangsung sengit itu turut menyaksikan penyertaan pasukan dari pelbagai negeri termasuk Kedah, Selangor, Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Terengganu, sekali gus memperlihatkan kejohanan berkenaan berjaya menarik minat lebih luas daripada sekadar pasukan di zon terbabit.