Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di tiga negeri sehingga jam 1 tengah hari ini.

METMalaysia menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, kawasan di Perak yang dijangka terjejas ialah Hulu Perak dan Kuala Kangsar, manakala di Pahang membabitkan Pekan dan Kuantan.

Di Sabah, amaran itu meliputi kawasan Pantai Barat (Ranau, Kota Belud, Tuaran dan Kota Kinabalu), Sandakan (Telupid, Paitan, Labuk dan Sugut, Sandakan serta Kinabatangan) dan Kudat (Kota Marudu).

Menurut METMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.