SEOUL: Korea Selatan dan Jepun mengerahkan jet pejuang masing-masing selepas beberapa pesawat tentera Russia dikesan memasuki zon pertahanan udara kedua-dua negara pada Selasa.

Korea Selatan berkata, pihaknya mengerahkan jet pejuang dan melakukan gerakan taktikal selepas beberapa pesawat tentera Russia memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara Korea (KADIZ).

Ketua Turus Bersama (JCS) di Seoul berkata, jumlah pesawat Russia yang tidak dinyatakan memasuki dan kemudian meninggalkan KADIZ di kawasan Laut Timur, yang turut dikenali sebagai Laut Jepun, pada awal pagi Selasa.

“Pasukan tentera kami mengesan pesawat Russia sebelum memasuki KADIZ dan mengerahkan jet pejuang tentera udara serta mengambil langkah taktikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” menurut kenyataan ringkas JCS.