KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2026 yang dijadualkan esok.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0910/0970 berbanding dolar AS daripada 4.0915/0960 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ekonomi negara dijangka mencatat pertumbuhan antara 5.4 peratus hingga 5.5 peratus, meningkat sedikit berbanding anggaran awal sebanyak 5.3 peratus.

"Jika begitu keadaannya, ini boleh meningkatkan kemungkinan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2027, yang seterusnya akan menyumbang kepada pengukuhan ringgit pada masa hadapan," katanya kepada Bernama.