KUALA LUMPUR: Bagaikan sesi karaoke gergasi apabila kira-kira 8,000 peminat yang membanjiri Unifi Arena, Bukit Jalil, bukan sekadar hadir menyaksikan aksi kumpulan Exists, malah, menjadi sebahagian daripada persembahan apabila hampir setiap lagu disambut nyanyian beramai-ramai.
Daripada bait pertama hingga rangkap terakhir, suara penonton bersatu mengiringi tujuh anggota asal kumpulan legenda dari Johor Bahru itu, membuktikan karya mereka masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air.
Lebih menarik, kemeriahan malam itu tidak hanya didominasi peminat yang membesar bersama lagu Exists pada era 1990-an, malah turut disertai generasi muda yang menghafal dan menyanyikan lagu seperti Janji Padamu, Rahsia Pohon Cemara, Julia dan Jesnita.









