London: Satu-satunya naskhah manuskrip abad ke-16 yang dikenali sebagai Book of Miracles bakal dilelong di sini pada 10 Disember ini dengan anggaran harga antara 700,000 pound sterling (kira-kira RM3.78 juta) hingga 1 juta pound sterling (kira-kira RM5.40 juta), lapor The Guardian.

Manuskrip yang mengandungi 167 ilustrasi fenomena cuaca ekstrem, keajaiban alam semesta dan gambaran kiamat itu memberi peluang pertama kepada institusi awam untuk membida sejak kewujudannya diketahui golongan sarjana.

Dihasilkan di Augsburg, Jerman sekitar 1550-an, manuskrip berkenaan menggambarkan bagaimana masyarakat Eropah pada abad ke-16 mentafsir kejadian alam luar biasa seperti gempa bumi, ribut dan banjir sebagai petanda buruk atau amaran daripada Tuhan.