Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengarahkan pegawainya turun ke lokasi jajaran lama projek Laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Kuala Krai-Gua Musang, iaitu FT08, bagi meneliti keadaan jalan yang dilaporkan mempunyai kerosakan dan selekoh berbahaya.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tindakan itu bagi membolehkan pihak kementerian menilai keadaan sebenar di lokasi terbabit serta mengenal pasti langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum isu yang dibangkitkan berhubung keadaan lencongan sementara di sepanjang projek LTU yang didakwa mempunyai selekoh terlalu tajam dan membahayakan pengguna.









