Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Tamu Kenegaraan, Presiden Perancis Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, pagi tadi, sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

Anwar dalam perkongsian menerusi Facebook berkata, ia adalah lawatan sulung Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan.

"Sambutan ini cukup bermakna tatkala ia berlangsung di mercu bersejarah berusia lebih 100 tahun, yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kemerdekaan negara," katanya.

Menurut Anwar, selepas istiadat pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan, beliau dan Macron mengadakan pertemuan empat mata selama hampir sejam.