KUALA LUMPUR: Konsep perubatan mampu milik menerusi program MediAsas perlu diteliti secara telus bagi mengelakkan inisiatif itu berdepan krisis inflasi kos perubatan yang sedang membelenggu polisi insurans komersial sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata perincian itu membabitkan kadar perubatan yang perlu ditanggung sendiri oleh pemegang polisi (deductibles), had caruman dan bayaran bersama.

Beliau berkata, kerajaan turut digesa menunjukkan iltizam tegas dalam mematuhi garis masa pelaksanaan inisiatif berkenaan tanpa sebarang kompromi.

"PAC melahirkan kebimbangan kerana fasa rintis MediAsas di Lembah Klang hanya mencatatkan sampel terlalu kecil dan tidak representatif, yang mana 1,600 individu menyatakan minat berbanding 9.9 juta rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan kesihatan swasta iaitu kurang daripada 0.1 peratus.