BESUT: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas ke dalam tali air di Kampung Gerong, Apal, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim, berkata Muhammad Irwan Rani, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu.

"Motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Kampung Gerong ke Alor Lintang dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam tali air.

"Mayat mangsa bersama motosikalnya dijumpai orang awam dalam tali air itu kira-kira jam 10 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.